Monday, November 1, 2010

Apa yang anda kena tahu mengenai Hakmilik Hartanah?

Hakmilik hartanah ialah dokumen yang membuktikan tuan punya atau pihak yang berkepentingan terhadap hartanah serta mengandungi butiran mengenai Hartanah iaitu cukai tahunan tanah, kategori & jenis pegangan tanah, syarat nyata tanah, sekatan yang dikenakan keatas tanah, sebarang urusan atas tanah seperti pindahmilik, turunmilik, gadaian (charge), pajakan, isemen, kaveat, pengambilan tanah secara paksa (land acquisition) dll.

Satu hakmilik Hartanah dikenal pasti melalui no. hakmilik, no. lot, mukim dan daerah. Apabila suatu hakmilik dikeluarkan, hakmilik sementara disediakan terlebih dahulu bagi membolehkan urusan yang berkaitan dibuat seperti yang dinyatakan di dalam seksyen 92 Kanun Tanah Negara (KTN) kecuali pecah sempadan, pecah bahagi atau satukan tanah sebelum hakmilik tetap dikeluarkan setelah tanah diukur sempurna dan sempadan ditetapkan.

Hakmilik sementara dan hakmilik tetap ini terdiri daripada hakmilik pejabat pendaftar (registry title) yang didaftarkan oleh Pendaftar Hakmilik di ibu negeri setiap negeri dan hakmilik pejabat tanah (land title) yang didaftarkan oleh Pentadbir Tanah di satu-satu daerah.

No. hakmilik sementara dikenali HS (D) - untuk hakmilik pejabat pendaftar dan HS (M) - untuk hakmilik pejabat tanah. Apabila hakmilik tetap dikeluarkan, Geran Negeri (freehold land) & Pajakan Negeri (leasehold land)- untuk hakmilik pejabat pendaftar dan Geran Mukim (freehold land) & Pajakan Mukim (leasehold land)- untuk hakmilik pejabat tanah.

Dokumen hakmilik disediakan untuk dipegang oleh tuan punya tanah (dokumen hakmilik keluaran) yang merupakan salinan kepada dokumen hakmilik daftar yang disimpan oleh pejabat tanah/pendaftar. Kedua-duanya mengandungi pelan tanah yang disahkan oleh Pejabat Ukur Negeri.

Mengapa anda kena tahu perihal hakmilik ini kerana situasi berikut:
1. Hakmilik sama ada tetap atau sementara boleh bersambung seperti yang dinyatakan dibawah seksyen 166 KTN; dan
2. Apabila daerah baru diwujudkan, maka hakmilik yang sedia ada akan dipinda.

Oleh yang demikian, seelok-eloknya anda membuat carian di pejabat tanah/pendaftar jika hakmilik anda masih sementara atau sebelum anda membuat sebarang urusan hartanah bagi memastikan status terkini dan butiran terperinci mengenai Hartanah. Lebih-lebih lagi jika hartanah tersebut adalah sebahagian daripada harta pusaka si mati. Ini adalah kerana ia akan memudahkan anda untuk membuat urusan pentadbiran harta jika Hartanah itu masih dalam gadaian, kaveat, pengambilan tanah secara paksa supaya anda/peguam tahu hala tuju dan prosedur lanjut untuk tindakan dengan kadar yang segera bagi kepentingan waris-waris.