Saturday, October 30, 2010

Kategori & Jenis Pegangan Hartanah


Hartanah di Malaysia dikategorikan mengikut penggunaan jenis tanah iaitu tanah pertanian, bangunan dan industri. Jenis pegangan tanah ini pula dibahagikan kepada tanah pegangan bebas (freehold land), tanah pajakan (leasehold land) selama 99 tahun dan tanah Rizab Melayu (malay reservation land). Apabila tanah diendorskan sebagai tanah pajakan atau tanah Rizab Melayu, maka sekatan kepentingan atas tanah menjadi tanggungjawab penjual iaitu untuk memohon surat kebenaran pindahmilik (consent to transfer) daripada Kerajaan Negeri ke atas nama pembeli. Proses permohonan tersebut mengambil masa kira-kira 2 - 3 bulan atau 6 bulan bergantung kepada jenis permohonan bagi mendapatkan surat kelulusan pindahmilik.


Melalui kategori penggunaan tanah bangunan, anda boleh memilih untuk membeli rumah landed property seperti banglo, rumah teres, rumah semi-D atau bangunan bertingkat seperti pangsapuri, kondominium, townhouse bergantung kepada kemampuan kewangan anda dan jumlah pinjaman yang anda layak daripada pihak bank. Jika bangunan bertingkat menjadi pilihan anda, maka anda perlu mengambil kira perkhidmatan yang ditawarkan seperti kolam renang, rumah rekreasi, lif dan kadar bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan ini. Bayaran ini nanti akan menjadi sebahagian daripada kos tanggungan apabila anda menduduki unit bangunan bertingkat.



Untuk mengetahui kategori dan jenis pegangan tanah, anda boleh melihat butiran hartanah daripada surat perjanjian yang terdahulu oleh penjual atau salinan geran hartanah. Oleh itu, sebelum membuat apa-apa bayaran deposit, anda disarankan mendapatkan salah satu dokumen ini untuk memastikan penjual tersebut adalah pemilik hartanah yang berkenaan. Apabila anda telah mendapat butiran hartanah pula, anda digalakkan membuat carian tanah di pejabat tanah untuk mendapatkan status terkini mengenai hartanah yang akan dibeli. Ini adalah penting kerana anda atau peguam anda akan tahu jika ada apa-apa masalah yang boleh timbul mengenai pemilikan hartanah. Kos carian tanah adalah diantara RM30 - RM50 mengikut kadar yang ditetapkan oleh pejabat tanah daerah atau negeri.

No comments:

Post a Comment